Berita Semasa

Kematian babitkan penunggang motosikal meningkat 10 peratus tahun lepas

PUTRAJAYA – Jumlah kematian penunggang motosikal akibat nahas jalan raya bagi tahun 2023 meningkat sebanyak 10 peratus iaitu 4,480 kemalangan maut, dengan jumlah kematian seramai 4,499 orang berbanding 4,071 pada tahun 2022.

Statistik tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, berdasarkan data keselamatan pengendali motosikal 2022, terdapat sejumlah 23 juta kenderaan yang berdaftar aktif dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, terdapat 6,080 kematian telah dicatatkan dengan bilangan kematian melibatkan penunggang dan pembonceng seramai 4,101 iaitu sebanyak 67 peratus.

Ahmad Zahid kemudian menghadiri sesi libat urus bersama Persatuan Motosikal Malaysia di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya.

Yang hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata menerusi sesi libat urus, pelbagai maklum balas, cadangan dan pendapat berhubung pelbagai isu keselamatan jalan raya telah dibangkitkan daripada kalangan para penunggang motosikal melalui Persatuan Motosikal Malaysia.

Katanya, sesi libat urus tersebut adalah selaras dengan dokumen Pelan Keselamatan Jalan Raya (PKJRM) 2022-2030, yang mensasarkan 50 peratus pengurangan jumlah kematian akibat nahas jalan raya menjelang tahun 2030.

Antara input dan syor yang telah dikemukakan adalah:

1. Pendedahan dan pendidikan awal keselamatan jalan raya kepada kanak-kanak;
2. Pemerkasaan kemahiran menunggang dan mengawal motosikal;
3. Kawalan penjualan alat ganti terutamanya bagi meningkatkan prestasi motosikal;
4. Hukuman yang tinggi termasuk sitaan kekal terhadap motosikal yang diubah suai keterlaluan;
5. Pemerkasaan Kaedah Lalu Lintas LN 165/59 Kanun Lebuh Raya kepada semua pengguna jalan raya;
6. Penglibatan pelbagai agensi dan NGO dalam penguatkuasaan serta meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya; dan
7. Penguatkuasaan peraturan keselamatan pengendali motosikal.

Tambah Timbalan Perdana Menteri, beliau berharap agar kementerian dan agensi berkaitan dapat meneliti setiap syor tersebut dan seterusnya mengusulkan inisiatif yang terbaik dalam meningkatkan tahap keselamatan setiap pengguna jalan raya.

Show More

Related Articles

Back to top button