Piala Emas Khir Johari: Perak tampil muka baharu, lama
KUALA LUMPUR – Pasukan sepak takraw Perak akan menampilkan gandingan pemain baharu dan lama untuk bersaing di Kejohanan Piala Emas Khir Johari yang bermula pada 22 Januari ini.
Menurut pengurus pasukan, Jeffrey Zainol, meskipun diundi bersama pasukan hebat lain, pasukan itu yakin untuk sekurang-kurangnya melangkah ke pusingan separuh akhir.
“Terlalu awal untuk meletakkan harapan ke perlawanan akhir memandangkan pasukan di dalam kumpulan D adalah cukup mencabar. Kita harap perlawanan di peringkat kumpulan akan berpihak kepada Perak dan seterusnya mara ke peringkat suku akhir terlebih dahulu,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Pasukan Perak diundi dalam kumpulan D bersama Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Mengulas mengenai persiapan pasukan Perak, Jeffrey berkata, pihaknya tidak mahu meletakkan tekanan yang tinggi kepada pemain.
“Ini merupakan satu kejohanan berformatkan pasukan dengan 3 regu di mana regu tengah adalah regu belia. Jadi keserasian semua pemain adalah penting dalam memastikan susunan regu dapat dibuat dengan lebih mudah oleh pihak kejurulatihan.
“Jadi, penyenaraian pemain-pemain yang telah bermain bersama serta latihan intensif yang dibuat 2 minggu sebelum kejohanan ini merupakan antara kunci yang kami harap akan membuahkan hasil.
“Perak akan bermain 2 perlawanan sehari pada hari pertama dan ketiga. Jadi, kami menekankan agar semua pemain mempunyai rehat yang secukupnya bagi menjamin kecergasan semasa perlawanan.
“Saya berpandangan tiada pengkhususan taktik yang dibuat oleh pihak kejurulatihan semasa perlawanan. Keputusan yang dibuat adalah dinamik berpandukan kekuatan barisan pemain Perak serta lawan. Sehubungan itu, adalah penting untuk pihak kejurulatihan mengkaji lawan-lawan yang ada dalam menyusun strategi yang sewajarnya.
“Memandangkan terdapat 6 pemain simpanan pada kali ini, saya berpandangan pihak kejurulatihan mempunyai pilihan yang lebih luas dalam menyusun regu pada kali ini dengan jadual yang padat.
“Persiapan khusus adalah memastikan pasukan dan pemain mempunyai masa yang secukupnya untuk berehat dan pulih daripada perlawanan. Selain itu, saya juga tidak ingin memberikan tekanan tambahan kepada pemain-pemain dalam menghadapi pasukan-pasukan yang kuat di peringkat kumpulan. Saya berharap pemain-pemain memberikan yang terbaik dan juga enjoy di dalam setiap perlawanan,” katanya.