Bas ekspres dua tingkat terbakar di Slim River
TANJUNG MALIM – Sebuah bas ekspres dua tingkat yang membawa 15 penumpang terbakar dalam kemalangan di kilometer (km) 375.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, Slim River dekat sini, pagi ini.
Kesemua penumpang dan dua pemandu bas yang dalam perjalanan ke Johor itu selamat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 5.19 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dibantu BBP Tanjung Malim dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati bas ekspres berkenaan terbakar pada kadar 80 peratus.
“Kesemua penumpang yang terdiri daripada 14 lelaki dan tiga wanita itu, termasuk dua pemandu telah berjaya keluar dari kenderaan itu sebelum kebakaran merebak.
“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujarnya lagi, pasukan bomba telah melakukan operasi pemadaman api dengan menggunakan tiga hose reel dan satu aliran bersama satu pancutan 100 kaki yang bersumberkan air dari tangki jentera.
Tambah beliau, difahamkan bas ekspres dua tingkat tersebut dalam perjalanan dari Johor ke utara Semenanjung.
Operasi yang diketuai Komander Operasi JBPM, Pegawai Bomba Kanan (PBK) Isma Mohamad Ubadullah itu tamat pada jam 7.23 pagi.