Jenayah & Mahkamah

Siasatan dakwaan gangguan seksual Agus selesai

Kertas siasatan dihantar ke Jabatan Peguam Negara 18 Disember

CYBERJAYA – Pihak polis sudah menyiapkan kertas siasatan ke atas ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff yang didakwa melakukan gangguan seksual.

Laporan BH Online menyebut, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zin sebagai berkata, kertas siasatan kes itu sudah lengkap dan dihantar ke Jabatan Peguam Negara pada 18 Dis lalu.

“Buat masa ini kertas siasatan itu masih dalam kajian dan semakan Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam laporan tersebut.

Pada 14 Dis lalu, Agus dipanggil ke IPD Kajang untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap kakitangan J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, mengesahkan pihaknya melakukan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan Agus yang dipercayai berlaku di sebuah hotel di Bintulu, Sarawak, 21 Okt lalu.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D akta sama atas kesalahan melanggar kesopanan.

Polis menjalankan siasatan selepas Wahab membuat laporan di Balai Polis Kajang bersama peguamnya, Faizal Abd Rahman 30 Nov lalu.

Sebelum itu, polis menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular perbualan lucah didakwa membabitkan Agus dan Wahab.

Dalam satu sidang akhbar, Agus mendakwa video perbualan mengaitkannya itu palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Show More

Related Articles

Back to top button