Gula tambahan dihantar ke Labuan atasi masalah bekalan
PUTRAJAYA – Masalah kekurangan gula di Labuan dijangka selesai Rabu ini dengan kemasukan sebanyak 118.90 metrik tan bekalan dari Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, beliau telah memaklumkan kepada ibu pejabat kementeriannya mengenai perkara tersebut selepas aduan oleh Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman.
Katanya, masalah itu telah dikenal pasti puncanya dan tindakan mengatasi masalah itu sedang dijalankan.
“Antara punca kepada permasalahan ini adalah kedudukan Labuan yang jauh dari lokasi pembekalan bahan ini. Itu yang menjadikan bekalan tidak mencukupi untuk penggunaan jangka masa panjang.
“Sehubungan itu kementerian telah mengarahkan bekalan gula tambahan dihantar dari Pelabuhan Klang ke Labuan.
“Insya-Allah masalah ini akan pulih dalam masa beberapa hari ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri pertandingan akhir Debat Kepenggunaan antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2024 Piala Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, di sini, semalam.
Masalah kekurangan bekalan guna menjadi isu di Labuan baru-baru ini apabila orang ramai mengadu sukar mendapatkan bekalan.
Isu tersebut turut dilaporkan media dan menjadi rugutan orang ramai di media sosial.