Berita Semasa

Dakwa masyarakat India tidak setia kepada negara – Menteri Perpaduan selar Dr Mahathir

PUTRAJAYA – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Aro Dagang meluahkan rasa kecewa dan mengutuk keras dengan kenyataan dikeluarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih terikat dengan negara asal mereka.

Beliau sebagai seorang negarawan yang telah bersama-sama membina negara bangsa ini sepatutnya menjadi seorang ejen perpaduan negara dalam menyebarkan mesej-mesej kebersamaan.

“Negara ini telah dibina atas dasar kebersamaan melalui Kontrak Sosial yang telah membawa kemerdekaan. Dalam menyatupadukan rakyat yang pelbagai kaum, agama, etnik dan budaya di negara ini, pemimpin terdahulu telah mendukung wadah integrasi nasional berbanding asimilasi.

“Kini sudah pun lebih 60 tahun merdeka, rakyat masih mengekalkan nilai “Perpaduan dalam Kepelbagaian” sebagai resam hidup,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang

Dalam pada itu beliau turut menyeru kepada semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin politik untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum sekali gus boleh menimbulkan kebencian.

Katanya, pemimpin politik seharusnya menjadi teladan dalam memupuk nilai-nilai perpaduan, muhibah dan semangat kebersamaan.

“Kita harus mempelajari, memahami dan mengambil teladan daripada peristiwa
sejarah yang pernah dilalui oleh Malaysia agar perpaduan serta keharmonian
antara kaum yang dirasai sekarang dapat terus dinikmati.

“Ingatlah, kepelbagaian itu adalah kelebihan dan kekuatan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button