KPT tidak terima laporan penutupan Uniten di Muadzam Shah – Zambry
KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir memaklumkan, beliau tidak menerima sebarang laporan berhubung cadangan penutupan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Muadzam Shah, Rompin, Pahang.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah membuat semakan berhubung isu tersebut, namun belum menerima apa-apa maklum balas.
“Pegawai kanan saya telah buat semakan, dan setakat ini saya masih belum menerima sebarang keputusan berkenaan penutupan Uniten seperti yang diperkatakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Pahang bersetuju terhadap cadangan penutupan universiti terbabit dan mahu keputusan itu dikaji semula.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selepas membuat keputusan sebulat suara dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).