PM ingatkan GLIC, GLC jangan tumpu keuntungan semata-mata
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) serta Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) supaya tidak menumpukan kepada aspek keuntungan semata-mata.
Sebaliknya, beliau berkata, GLIC serta GLC perlu kembali kepada matlamat asal mereka iaitu mendorong kepada pembinaan negara dan peningkatan tahap sosioekonomi rakyat.
“GLIC dan GLC tidak boleh lagi hanya menumpukan kepada aspek keuntungan tetapi mesti mengambil tanggungjawab korporat yang lebih berat dan besar dalam usaha pembinaan negara.
“Dengan aset di bawah pengurusan (AUM) yang bernilai hampir RM2 trilion, GLIC dan GLC mempunyai daya kekuatan untuk meneraju pelaburan langsung domestik strategik (DDI),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menghadiri Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan (MoF) di sini, hari ini.
Tambah Anwar, GLIC dan GLC perlu memberi lebih perhatian kepada aspek sosioekonomi rakyat dengan membantu kerajaan menoktahkan kemiskinan serta menyalurkan dana secara terus kepada pembangunan masyarakat.