Berita Semasa

PM Anwar rasmi Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia di sini.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, pelaksanaan program ini bertujuan untuk menyediakan wahana kepada semua pihak berkepentingan dalam landskap pendidikan tinggi khususnya golongan akademia.

“Pengurusan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta serta pihak industri yang memberi sumbangan signifikan terhadap pemerkasaan agenda pendidikan tinggi negara.

“Sesi wacana selama dua hari pada 5 hingga 6 Januari 2024 ini amat kritikal bagi memeta hala tuju pendidikan tinggi negara supaya sejajar dengan aspirasi nasional di bawah Kerangka Ekonomi Madani.

“Sesi ini juga memberi peluang kepada semua pemegang taruh dalam sektor pendidikan tinggi untuk berkongsi pandangan dan pengalaman masing-masing dengan pucuk pimpinan negara dan kementerian, khususnya untuk merangka strategi dalam mendepani cabaran-cabaran masa kini dan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Zambry, sesi wacana itu juga penting bagi memastikan sektor pendidikan tinggi negara menyokong kerangka Ekonomi Madani bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan dapat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada segenap lapisan rakyat.

“Pelaksanaan objektif wacana ini diterjemahkan dalam bentuk beberapa sesi pembentangan dan forum secara interaktif yang dibarisi oleh para pembentang dan ahli panel yang berwibawa serta pakar dalam bidang masing-masing.

“Inti pati perbincangan dalam semua sesi ini nanti akan digunakan sebagai input bagi hala tuju pendidikan tinggi negara dan membangunkan pelan pendidikan tinggi yang baharu yang akan tamat tempoh pada tahun hadapan,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Zambry berkata KPT yakin dengan sinergi sumbangan idea daripada semua pemegang taruh dalam wacana ini, ia akan menghasilkan strategi berimpak tinggi dan berkesan bagi memacu landskap pendidikan tinggi negara ke tahap yang lebih cemerlang.

Sebagai rekod, seramai 1,000 orang peserta hadir bagi menjayakan pelaksanaan program pada hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button