Berita Semasa

Malaysia kecam, bantah serangan bom sasar orang awam di Iran

PUTRAJAYA – Malaysia membantah dan mengecam serta mengutuk tegas sebarang bentuk keganasan ke atas mereka yang tidak berdosa dalam insiden pengeboman di wilayah Kerman, Iran semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada Iran dan warganya di atas insiden itu.

“Amat menyedihkan tatkala beberapa bom dilaporkan meledak di wilayah Kerman berdekatan Iran semalam.

“Ia telah merenggut hampir seratus nyawa yang tidak berdosa dan telah mencederakan lebih dua ratus yang lain. Malaysia membantah dan mengecam serta mengutuk tegas sebarang bentuk keganasan ke atas mereka yang tidak berdosa,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu Anwar turut menggesa agar dalang aksi ganas ini diheret ke muka pengadilan.

Anwar berkata, di tahun baharu ini, Malaysia ingin mengajak dunia untuk ikut membantah budaya ganas dan rakus dan selamatkan kemanusiaan sejagat.

“Sudah hampir tiga bulan dunia menyaksikan pembantaian Israel ke atas mereka yang tidak berdosa di Palestin dan yang terbaru di Lubnan dua hari yang lalu,” ujarnya.

Terdahulu sekurang-kurangnya 95 mangsa terkorban dalam insiden pengeboman itu.

Menurut laporan media tempatan, serangan pertama meletus pada pukul 3 waktu tempatan berhampiran masjid tersebut manakala serangan kedua berlaku 15 minit kemudian kira-kira satu kilometer dari masjid berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button