Berita Semasa

Koo Ham langgar etika 3R – Ketua Pemuda Pas Selangor

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham secara jelas telah melanggar etika 3R (agama, kaum dan raja) apabila mengeluarkan cadangan supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Menurut Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, cadangan yang dibuat itu bersifat provokasi secara sekaligus terhadap institusi agama Islam dan institusi beraja di negara ini.

“Inilah contoh bahawa DAP sangat tidak menghormati institusi beraja di dalam negara ini, bahkan mereka lebih rakus berbanding penjajah British sebelum ini.

“Tidak malukah DAP kepada penjajah British yang tidak berani campur tangan dalam soal Islam dan Melayu sewaktu menjajah Tanah Melayu dahulu, tetapi DAP nampaknya tidak segan silu mahu menguasai segalanya,” kata Mohamed Sukri dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan, adakah segala tindakan dan keputusan orang Islam memerlukan persetujuan orang bukan Islam untuk dilaksanakan ketika DAP turut menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Apakah PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) hanya berdiam diri atau tidak berani menegur sikap keterlaluan pimpinan DAP ini?” soal Mohamed Sukri.

Terdahulu, Koo Ham menyarankan kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Beliau menjelaskan, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Show More

Related Articles

Back to top button