Jenayah & Mahkamah

Keputusan sambung reman ditentukan esok

Berhubung kehilangan seorang ibu tunggal sejak 14 Disember lalu

BATU PAHAT – Keputusan melanjutkan tempoh reman seorang lelaki berusia 24 tahun bagi membantu siasatan berhubung kehilangan seorang ibu tunggal, Mila Sharmila Samsusah yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember 2023 lalu akan ditentukan esok.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, keputusan tersebut akan dibuat berdasarkan kepada siasatan yang sedang berjalan ketika ini.

“Seperti kenyataan saya sebelum ini, kita telah menahan seorang lelaki berusia 24 tahun pada 25 Disember 2023 bagi membantu siasatan dan tempoh reman lelaki berkenaan adalah sehingga 30 Disember 2023.

“Bagaimanapun, keputusan sama ada untuk sambungan reman atau tidak hanya akan diputuskan esok (Sabtu).

“Buat masa ini, siasatan berhubung kes ini masih berterusan,” katanya hari ini.

Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kehilangan ibu tunggal dengan dua anak yang turut dikenali sebagai Bella, sebagaimana yang dilaporkan di media.

Laporan media sebelum ini menyebut, wanita berkenaan keluar dari rumahnya di Taman Soga, pada jam 11.50 malam, 14 Disember 2023 lalu menaiki kereta dengan seorang lelaki (dipercayai teman lelakinya) untuk ke sebuah kedai dobi.

Bagaimanapun, dia dilaporkan hilang apabila tidak pulang ke rumah selepas itu.

Difahamkan, setakat ini polis juga telah memanggil lima individu melibatkan keluarga serta rakan-rakan wanita berkenaan bagi membantu siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button