Berita Semasa

Hormati, jangan campuri hal ehwal agama Islam – Sultan Selangor

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat Malaysia khususnya mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal Agama Islam di Malaysia.

Baginda menitahkan demikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah bahawa MKI memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.

“MKI juga dianggotai olen pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya yang melibatkan undang-undang dan agama Islam,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabat diraja hari ini.

Justeru, Baginda mengharapkan agar orang-orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

Malah, penganut agama-agama lain seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di Malaysia.

Baginda berkenan memetik ayat ke-6 Surah al-Kafirun yang bermaksud “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.

Baginda turut mengambil maklum kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyatakan terdapat salah faham di pihak Koo Ham berkenaan jawatankuasa yang mengkaji bidang kuasa mahkamah syariah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Show More

Related Articles

Back to top button