Berita Semasa

Chegu Bard dakwa belum terima LOD

PUTRAJAYA – Aktivis Badrul Hisham Shaharin memaklumkan masih belum menerima Surat Tuntutan (LOD) daripada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung dakwaanya terhadap isu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

Badrul Hisham atau lebih dikenali Chegu Bard berkata, beliau bersedia untuk menerima LOD terbabit.

“Semalam saya dimaklumkan kerana dikatakan menteri kata dia dah bagi LOD kepada saya, malah saya buat carian di internet dan jumpa kenyataan rasmi menteri kata dah serah kepada Chegu Bard cuma saya tak tahu Chegu Bard yang mana yang dia serah,” katanya memetik laporan BH Online.

Terdahulu, Badrul tiba di pekarangan lobi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di sini, hari ini bagi menerima sendiri surat tuntutan berkenaan.

“Saya buat keputusan, saya hantar mesej kepada menteri dan hadir sendiri ke pejabatnya untuk terima sendiri surat tuntutan berkenaan, tetapi masih tidak terima (LOD),” katanya lagi.

Nik Azmi sebelum ini dilaporkan berkata, beliau menerusi peguamnya menyerahkan LOD kepada Badrul Hisham supaya menarik balik serta-merta dan memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataannya berunsurkan fitnah membabitkan projek RTB.

Kata beliau, surat tuntutan terbabit sudah diserahkan kepada Badrul Hisham berhubung dakwaan kes rasuah RTB bernilai lebih RM16 bilion yang didedahkan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Show More

Related Articles

Back to top button