Projek Jalan Sadao-Bukit Kayu Hitam akan disegerakan – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Malaysia dan Thailand bersetuju untuk menyegerakan Projek Jalan Sadao-Bukit Kayu Hitam serta Projek Jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pertemuan yang diadakan di Phuket, Thailand semalam, Anwar berkata, beliau dan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin sepakat untuk bersama-sama membangunkan wilayah selatan Thailand dan utara Semenanjung secara lebih pesat, sekali gus menjamin limpahan ekonomi bagi rakyat di kedua-dua wilayah tersebut.
“Jawatankuasa khas peringkat tertinggi antara kedua-dua negara perlu melaporkan kemajuan projek dan perkara-perkara yang telah dipersetujui pada pertengahan bulan depan”, ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Anwar turut memaklumkan beliau akan meninjau situasi banjir di Kelantan esok.
“Insya-Allah esok saya akan turun ke Kelantan bagi meninjau sendiri situasi yang semakin membimbangkan di sana.
“Semoga Allah segera mengangkat bencana ini,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau juga sempat mengadakan perbincangan mengenai usaha dalam mempromosikan sektor pelancongan Malaysia-Thailand.
“Srettha menyatakan kesediaan Thailand untuk mempromosikan pelancongan di Phuket, Langkawi dan kawasan lain di utara semenanjung negara secara bersama memandangkan peningkatan mendadak pelancong Malaysia ke Thailand,” ujarnya lagi.