Jenayah & Mahkamah

Anak maut dalam kereta akibat tertinggal, ibu didakwa esok

PETALING JAYA – Seorang ibu yang anaknya maut setelah ditinggalkan dalam kereta selama tujuh jam akan didakwa di mahkamah di sini, esok.

“Suspek akan dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 pada jam 9 pagi esok (Jumaat),” kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian pada 9 November lalu itu, mangsa, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut setelah ditinggalkan ibunya lebih tujuh jam dalam kereta di kawasan sebuah perumahan Ara Damansara dekat sini.

Siasatan mendapati, pada kira-kira pukul 7 pagi, suspek membawa dua anaknya yang lain bersama mangsa untuk dihantar ke sekolah berhampiran sebelum menuju ke sebuah tadika untuk menghantar mangsa.

Bagaimanapun, ketika suspek tiba di tadika, dia berhenti sekejap untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa untuk menurunkan mangsa.

Suspek kemudiannya terus bergerak pulang ke rumahnya tanpa menyedari mangsa masih berada dalam kenderaan yang dipandunya itu.

Suspek hanya menyedari mangsa berada dalam kereta kira-kira pukul 3.35 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Show More

Related Articles

Back to top button