Berita Semasa

Dr Mahathir sokong tindakan sekat kapal Israel berlabuh di Malaysia

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong tindakan kerajaan menyekat syarikat perkapalan Israel, ZIM daripada berlabuh di pelabuhan negara ini.

Menerusi status di laman X, bekas Perdana Menteri itu menyifatkan tindakan Malaysia itu sebagai tanda protes yang jelas terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan Israel terhadap penduduk Palestin.

“Kita sokong tindakan Kerajaan Malaysia sekat Syarikat perkapalan Israel ZIM dari berlabuh di pelabuhan Malaysia.

“Ini kerana tindakan melampau dan tiada perikemanusiaan Israel terhadap penduduk Palestin perlu dikeji dan apa-apa tindakan protes yang boleh dilakukan harus diambil,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menjelaskan mengapa keputusan kerajaan ketika pemerintahannya memberi kebenaran kepada kapal ZIM berlabuh pada 2002.

“Perlu dijelaskan bahawa Kerajaan pada tahun 2002 membenarkan ZIM berlabuh kerana ketika itu Malaysia masih menaruh harapan kepada usaha damai antara Palestin dan Israel.

“Kerajaan ketika itu pernah membenar pasukan kriket Israel dengan harapan rakyatnya dapat melihat bahawa penduduk Malaysia yang majoriti beragama Islam boleh hidup bersama rakyat beragama lain.

“Malangnya segala usaha itu jelas sia-sia kerana Israel selepas itu terus memperlihat sifat kebinatangannya dan terus membunuh rakyat Palestin,” katanya.

Tegasnya, kebenaran itu hanya sekadar memberi laluan kepada kapal terbabit tanpa memperlihatkan sebarang sokongan kepada regim Israel dan tindakannya yang membunuh rakyat Palestin.

Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, menggunakan bendera Israel atau kapal dalam perjalanan menuju ke sana dilarang berlabuh atau memuatkan kargo di mana-mana pelabuhan Malaysia, berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan itu jelas Anwar sebagai tindak balas terhadap kedegilan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa dengan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Show More

Related Articles

Back to top button