Kerajaan sudah kenal pasti calon Pengerusi SPR – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan telah mengenal pasti calon jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang bersara wajib pada 9 Mei lalu.
Menurut Perdana Menteri, proses yang sewajarnya bagi lantikan tersebut telah dikuti dan perlu menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Sudah (mengenal pasti calon). Kita sudah ikut prosesnya dan akhirnya ia harus mendapat perkenan Yang di-Pertuaa Agong,” katanya selepas merasmikan Pameran Era Pasca Normal Madani, di sini hari ini.
Semalam, Pemangku Pengerusi SPR, Azmi Sharom dilaporkan berkata, perlu wujud kaedah yang lebih telus dalam pemilihan jawatan pengerusi suruhanjaya itu.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi SPR berkata, untuk memastikan perubahan tersebut berlaku, ia memerlukan komitmen serius daripada kerajaan yang benar-benar mahu melihat reformasi berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Pembaharuan Institusi (JKPK) bersetuju bahawa proses pelantikan pengerusi baharu SPR perlu dijalankan secara terbuka dan konsultatif dengan Parlimen.
Pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen berkata, JKPK bersedia untuk bersidang bagi menyemak dan menapis calon-calon yang akan dipertimbangkan bagi jawatan itu.