Pencarian Hawari disambung semula April depan, libat 500 malim gunung
PETALING JAYA – Misi pencarian pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) kurang upaya pendengaran, Muhammad Hawari Hashim yang hilang di Gunung Everest akan disertai oleh kira-kira 500 malim gunung pada April depan.
Pengarah dan Pengasas Bersama Pioneer Adventure, Nivesh Karki berkata, operasi itu dijadualkan bermula pada pertengahan April depan hingga akhir Mei dari kem dua hingga puncak Everest pada ketinggian 6,000m hingga 8,000m meter dari paras laut.
“Pasukan kami sendiri mempunyai 27 malim gunung. Kami juga akan bekerjasama dengan syarikat lain, selain berusaha mendapatkan bantuan kira-kira 500 malim gunung lain untuk memperluas liputan kawasan pencarian secara menyeluruh.
“Kami juga menawarkan ganjaran kepada pihak berjaya menemui Hawari supaya usaha pencarian menjadi lebih produktif. Kami berjanji akan mencari serata tempat di setiap satu titik laluan berkemungkinan,” katanya menurut Harian Metro dalam program “Pendakian Abadi: Perjalanan Bersama Ekspedisi ME 2023” di George Town.
Program anjuran Lembaga Muzium Pulau Pinang (LMNPP) dengan kerjasama Kelab Eksplorasi Altitud itu turut dihadiri ahli keluarga Hawari yang juga kakitangan LMNPP sejak 2010.
Hawari dilaporkan hilang pada 19 Mei lalu selepas meninggalkan kem empat pada ketinggian 8,000m dari aras laut. Beliau dilaporkan berjaya menawan puncak Everest pada 3.30 petang waktu Nepal sehari sebelum itu.
Sementara itu, Karki tidak dapat memberi jaminan misi SAR tersebut akan berjaya menemui Hawari.
“Saya sendiri tidak dapat jamin peratusan kejayaan. Namun, saya akan pastikan dan jamin usaha pencarian dilakukan sebaik mungkin.
“Ini kerana ada kes pendaki hilang 1942 dapat ditemui pada 2019,” katanya sambil menambah malim gunung yang menemani Hawari mendaki dan kembali ke kem empat tidak datang ke Malaysia hari ini kerana masalah visa.
Beliau berkata, tiada orang dapat memastikan apa berlaku di kem empat ketika itu kerana malim gunung terbabit memberi bantuan kepada seorang lagi peserta misi, iaitu Allahyarham Awang Askandar Ampuan Yaacub yang menghadapi masalah kesihatan.
“Kita tidak menemui sebarang jejak dan harap pencarian pada musim pendakian tahun depan berhasil, namun bergantung pada cuaca. Tetapi, kita tidak akan berputus asa. Jika tidak berjaya tahun depan, kita akan lakukan SAR pada tahun berikutnya dan seterusnya,” katanya.