Ahmad Maslan sifatkan pilihan raya PBT hanya akan runcingkan isu perkauman
KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan gesaan untuk mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hanya akan meruncingkan isu perkauman di negara ini.
Menurut Ahmad, sekiranya pilihan raya PBT diadakan, sudah semestinya ia akan dimonopoli oleh masyarakat Cina kerana mereka tinggal di bandar.
“Cukuplah ada pilihan raya umum dan pilihan raya negeri. Mengapa nak ada satu lagi pilihan raya,” katanya dalam sidang media selepas melawat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta untuk mengulas berhubung gesaan daripada Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai yang mahu pilihan raya PBT dikembalikan semula di ibu negara.
Tambah Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, Kerajaan sudah meletakkan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan di Perdana Menteri (JPM) dengan masing-masing sudah mempunyai Ahli Parlimen di kawasan sendiri.
“Majlis Perbandaran kita ada Yang Dipertua Majlis dan kita ada ahli-ahli majlis perbandaran yang tentunya mewakili pelbagai kaum.
“Tapi kalau asa pilihan raya PBT hanya dimenangi oleh satu kaum, daripada pelbagai kaum kepada satu kaum sahaja,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa hari ini memaklumkan, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung keperluan untuk mengadakan pilihan raya PBT di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.
Menurut Zaliha, beliau tidak menolak akan kepentingan untuk mengadakan pilihanraya PBT tersebut, namun katanya, terdapat perkara lain yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu.