Pegawai polis langgar pelajar tingkatan 5 didakwa membunuh
IPOH – Seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintenden yang ditahan selepas dipercayai melanggar seorang pelajar lelaki Tingkatan 5 sehingga mati di Meru pada Jumaat lalu didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pagi ini.
Tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak berusia 44 tahun didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17.
Kejadian berlaku di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Kinta dekat sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
Pegawai polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Dalam kejadian antara 12.05 hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember lalu, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, Muhammad Zaharif Affendi meninggal dunia selepas dipercayai dilanggar dan diseret sejauh lebih 5 meter oleh kenderaan tertuduh.
Kejadian dikatakan berlaku selepas tertuduh tidak berpuas hati dengan mangsa yang dipercayai membuat bising dengan ekzos motosikalnya.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberi jaminan siasatan kes itu akan dilakukan secara telus dan pihak polis tidak akan sesekali melindungi pesalah.