Kes jumpa jasad dalam peti sejuk beku, suspek mahu ibu ‘masuk syurga’
KUALA LUMPUR – Suspek utama kes penemuan jasad wanita dalam peti sejuk beku di Taman OUG, Jalan Klang Lama hari ini dipercayai berbuat demikian kerana mahu ibunya ‘masuk syurga’.
Menurut sumber, suspek dipercayai menumbuk ibunya sehingga mati pada Mac 2021, sebelum jasad warga emas itu dibalut dengan tuala dan kain kemudian disumbat dalam peti sejuk beku.
“Suspek yang berusia 50-an dipercayai membunuh ibu kandungnya yang berusia 80-an kerana mahu wanita itu ‘masuk syurga’.
“Suspek mendakwa menghadapi masalah kewangan apabila kehabisan wang simpanan selain mempunyai masalah kesihatan kronik,” kata sumber.
Selepas lebih tiga tahun, katanya, jasad mangsa ditemukan selepas kediaman suspek diperiksa sepasukan polis yang menerima laporan perkara itu pada jam 9 pagi tadi.
Difahamkan, suspek menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan kerana tidak sihat sebelum membongkar rahsia mengenai keberadaan mayat ibunya.
Menurut sumber lagi, jasad mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat dan suspek turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan.
Difahamkan, suspek akan direman esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.