Ibnor Riza meninggal dunia
KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal era 1980-an, Ibnor Riza meninggal dunia di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), di sini pukul 3.30 petang tadi.
Berita sedih itu dikongsi penyanyi seangkatan Allahyarham, Salwa Abdul Rahman sebentar tadi.
“17.12.23. Sahabatku dah (sudah) xde (tiada). Semoga arwah tenang dan damai di sana dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Ibnor yang disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada Mac lalu sehingga kini difahamkan sudah melakukan kemoterapi sebanyak sembilan kali.
Semalam penyanyi Mimpi Yang Tak Sudah itu dilaporkan kritikal dan masih ditidurkan selepas menjalani pembedahan mengeluarkan air dalam kepalanya pada 2 Disember lalu.
Pada 10 November lalu, penyanyi itu turut menjalani kimoterapi R-ICE di hospital sama.
Dia turut mengalami demam yang berpanjangan selepas rawatan.