Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Penganggur didakwa bunuh ibu, bapa

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh ibu dan bapanya dalam kejadian di sebuah rumah di Sungai Penchala minggu lalu.

Tertuduh Afendi Muhammad Agus, 42, yang tidak diwakili peguam mengangguk faham setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh yang juga merupakan seorang penganggur, didakwa membunuh bapanya Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan ibunya Darlisma Njatu Saleh, 72.

Kesalahan itu didakwa di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6 di sini masing-masing pukul 7.10 malam dan 7.20 malam pada 9 Disember lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Januari depan bagi sebutan semula kes.

Terdahulu, media melaporkan, sepasang warga emas maut ditikam anaknya sehingga mati dipercayai berpunca akibat suspek tidak diberi wang untuk membeli dadah.

Suspek yang melarikan diri kemudian berjaya diberkas polis dan ditahan ketika bersembunyi di terowong Penchala di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint), di sini.

Ujian saringan air kencing juga menunjukkan tertuduh positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin.

Polis juga mengesahkan tertuduh mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Show More

Related Articles

Back to top button