Keputusan teruskan program e-belia Rahmah bergantung keupayaan kewangan negara
KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada Program e-Belia Rahmah diteruskan atau tidak bergantung kepada keupayaan kewangan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun tetap memberi jaminan usaha beliau dalam mengurangkan beban rakyat terutama dalam kalangan mahasiswa.
“Kita tengok dahulu berapa pendapatan daripada JKDM (Jabatan Kastam Diraja Malaysia), mungkin hasil bertambah disebabkan Ketua Pengarah baharu yang dinamik, selain LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri).
“Kalau hasil bertambah, boleh belanja,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika sesi dialog pada hari terakhir Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.
Turut sama menjadi ahli panel ialah kedua-dua timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Program eBelia Rahmah merupakan program pemberian kredit e-tunai berjumlah RM200 kepada mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa yang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT).
Pemberian itu melibatkan peruntukan sebanyak RM400 juta, dan diumumkan Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada 24 Februari lalu.