Jenayah & Mahkamah

Identiti wanita disimen dalam bilik air dikenal pasti warga India

KUALA LUMPUR – Identiti wanita yang disimen di dalam sebuah rumah di Pandamaran, Klang baru-baru ini dikenal pasti sebagai warganegara India berusia dalam lingkungan usia 30-an.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, mangsa dengan ketinggian kira-kira 160 sentimeter itu dipercayai teman wanita kepada suspek dan tinggal di rumah berkenaan.

“Pihak polis sedang mendapatkan bantuan kedutaan India untuk memperoleh maklumat dan menghubungi keluarganya.

“Pihak polis juga menyediakan lakaran wajah mangsa untuk dikongsi dengan media,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Mengulas mengenai identiti suspek yang juga warga India itu, Hussein berkata, pihaknya sudah mendapat maklumat mengenai perkara itu.

“Waran tangkap terhadap suspek itu akan diperolehi. Kita juga akan minta bantuan kedutaan India serta pihak polis India bagi mengesan dan menahan lelaki berkenaan.

“Dengan adanya dapatan siasatan ini, pihak polis menganggap kes ini sudah selesai dan dalam proses untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu menghubungi pegawai penyiasat kes atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat wanita yang ditanam dan disimen di sebuah rumah di Pandamaran, Klang, pada 4 Disember lalu.

Difahamkan kediaman terbabit sebelum itu disewa dua lelaki warga asing sebelum mereka memaklumkan kepada pemilik rumah lelaki berusia 66 tahun ingin pindah keluar pada Oktober lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button