Berita Semasa

Penghantaran bantuan ketiga ke Gaza pada 18 Dis

PUTRAJAYA – Malaysia akan menghantar bantuan misi kemanusiaan ke Gaza buat kali ke-3 pada 18 Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penghantaran tersebut akan melibatkan 60 tan barangan.

“Ini merupakan bantuan terbesar yang dihantar ke Gaza berbanding sebelum ini,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin oleh 99 Speedmart Sdn Bhd dan Wanita UMNO Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Ahmad Zahid turut berkata, kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri (KLN) sedang memantau kutipan sumbangan oleh orang perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Itu telah menjadi arahan sebenarnya di mana koordinasi ini dilakukan oleh pihak KLN.

“Lebih baik jika kita khuatir penyaluran bantuan ini diberikan individu dan NGO yang seolah-olah bertindak untuk membantu Palestin tapi akhirnya perbelanjaan itu pergi kepada urusan pentadbiran, bukannya kepada matlamat iaitu membantu mangsa kezaliman di Gaza,” katanya lagi.

Dalam majlis hari ini, Ahmad Zahid menerima cek replika sumbangan daripada Wanita UMNO berjumlah RM621.954.60 kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) manakala Syarikat 99 Speedmart pula menyumbang RM200,000.

Malaysia sebelum ini telah membuat dua penghantaran ke Tebing Gaza, dengan penghantaran pertama melibatkan 20 tan barangan keperluan perubatan, barangan bayi dan makanan

Kesemua barangan itu selamat tiba di Gaza pada 10 November.

Penghantaran kedua yang membawa 16 tan barangan bantuan telah tiba di Mesir pada 11 November lepas.

Show More

Related Articles

Back to top button