Politik

Ahmad Zahid terbuka jawatan Presiden, Timbalan Presiden dipertandingkan pada pemilihan akan datang

MUAR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terbuka sekiranya dua jawatan tertinggi dalam parti itu dipertandingkan pada Pemilihan UMNO 2026.

Beliau bagaimanapun menegaskan, UMNO perlu mengukuhkan parti terlebih dahulu berbanding memikirkan soal pemilihan dan jawatan tertinggi parti.

“Saya amat terbuka dalam perkara ini. Namun apa yang lebih penting UMNO harus dipertahankan dan kekal relevan bukannya memikirkan soal pertandingan.

“Kita perlu lihat situasi sesuatu tahun atau tarikh yang akan ditentukan itu sudah tentunya seseorang calon itu tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian, ia bergantung kepada dukungan para perwakilan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Muar di Dewan UMNO Bahagian Muar, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menyerahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) dan Perhimpunan Agung UMNO akan datang untuk membuat sebarang ketetapan berhubung perkara tersebut.

Beliau kemudiannya berkata, keputusan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan atau tidak, masih perlu mematuhi perlembagaan dan peraturan parti.

“Apabila tiba masanya, pemilihan parti tetap akan berjalan. Mengikut perlembagaan UMNO, pemilihan parti perlu diadakan setiap tiga tahun. Cukup waktunya nanti pada tahun 2026.

“Namun di sana ada klausa bahawa pemilihan boleh ditangguhkan selama 18 bulan ertinya ia bergantung kepada keputusan yang akan dibuat dalam Majlis Tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO,” katanya lagi.

Semalam, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara meluluskan tiga usul secara sebulat suara termasuk menggesa jawatan presiden dan timbalan presiden parti dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya hari ini, mengingatkan ahli UMNO sekiranya mahukan jawatan dalam parti perlu mendapatkannya dengan cara yang betul.

“Diam tak diam saya sudah tujuh tahun sebagai Presiden UMNO itu pun kerana diberikan tanggungjawab oleh “bossku” (Datuk Seri Najib Razak). Jawatan hakiki ketika itu cuma Naib Presiden UMNO tetapi diberi tanggungjawan Presiden UMNO.

“Saya dah rasa semua jawatan, jangan naik pijak orang, kalau naik pijak orang, tunggulah masa orang pijak kita pula,” katanya lagi.

Hadir sama pada mesyuarat ini, Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Ashari Md Sarip.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button