Malaysia main peranan aktif heret rejim zionis ke ICC
KUALA LUMPUR – Kerajaan memainkan peranan aktif dalam membantu mendesak masyarakat antarabangsa mengheret isu kekejaman Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, walaupun walaupun bukan ahli Statut Rom ICC, Malaysia masih boleh menyokong desakan masyarakat antarabangsa untuk mengheret Israel ke muka pengadilan berikutan kekejaman dilakukan terhadap rakyat Palestin.
“Peranan itu termasuk kerjasama secara ad-hoc dengan Pejabat Pendakwa Raya ICC bagi menyokong siasatan selain membantu dari segi menyampaikan dokumen-dokumen perundangan atau memudahkan kehadiran saksi sukarela yang boleh menyokong kes itu apabila dikemukakan di ICC nanti,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Noraini Idris mengenai peranan boleh dimainkan Malaysia dalam isu kekejaman Israel di Palestin.
Mohamad berkata, kerajaan turut mengemukakan kenyataan bertulis atau pandangan Malaysia yang diperlukan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kesan kekejaman Israel terhadap Palestin pada 25 Julai lalu.
“Insya-Allah kita juga akan mengambil bahagian untuk mengemukakan penyerahan lisan untuk tampil di ICJ pada 19 Feb tahun depan.
“Ini merupakan antara komitmen jitu negara untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin dan menyokong desakan masyarakat antarabangsa untuk mengheret Israel ke muka pengadilan,” katanya lagi.
Israel kembali meneruskan serangan ke atas Tebing Gaza pada Jumaat lalu selepas gencatan senjata kemanusiaan selama seminggu dengan Hamas tamat.