Kredit eMadani: 6.5 juta permohonan sudah diluluskan
PUTRAJAYA – Sebanyak 6.5 juta permohonan bantuan kredit eMadani telah diluluskan setakat ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peruntukan sebanyak RM650 juta juga telah dikreditkan kepada pemohon yang berjaya.
Buat masa ini, katanya, sebanyak 1.8 juta lagi permohonan masih dalam proses kelulusan yang mengambil masa satu hingga lima hari dari tarikh permohonan.
“Begitu ramai yang memohon sepanjang tiga hari ini walaupun kita membuka hingga 20 Februari 2024 dan boleh digunakan hingga 29 Februari depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan perbelanjaan menggunakan kredit eMadani di sebuah pasar raya, di sini hari ini.
Sementera itu, beliau berkata, syarat ketat yang ditetapkan bagi program eMadani berkenaan adalah sebagai usaha untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Kita nak membantu rakyat dengan kembangkan ekonomi setempat dan bukannya syarikat-syarikat besar seperti untuk pembayaran tol dan sebagainya,” kata beliau.
Pendaftaran dan tuntutan kredit eMadani bermula Isnin lepas akan memanfaatkan 10 juta rakyat melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion.
Empat aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet boleh dipilih iaitu ShopeePay, MAE Maybank, Touch N’ Go dan Setel Petronas.