Culik wartawan, anggota Cawangan Khas ditahan kerja
KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis daripada Unit Cawangan Khas ditahan kerja kerana disyaki menculik seorang wartawan warga Bangladesh.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, tindakan sama menanti dua lagi anggota dari unit yang sama, bergantung kepada hasil siasatan.
“Ada yang kita sudah ambil tindakan tahan kerja dan kita tunggu tindakan susulan kerana kes itu di bawah siasatan Polis Selangor dan bagi Polis Kuala Lumpur sudah ambil tindakan tahan kerja.
“Siasatan sudah selesai tapi kita tunggu keputusan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Laporan sebelum ini menyebut, kertas siasatan membabitkan tiga anggota polis didakwa menculik seorang wartawan warga Bangladesh sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP), minggu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya itu dibebaskan dengan jaminan selepas tamat tempoh reman.
Sbelum ini, seorang wartawan warga Bangladesh mendakwa diculik dan diseksa selama tiga hari oleh beberapa lelaki tempatan di sebuah rumah sekitar Klang, Selangor.
Lelaki berusia 30-an yang enggan dikenali itu berkata, sepanjang tempoh itu, dia dipukul, dirotan, diterajang di perut dan dikelar di bahagian tangan oleh beberapa lelaki tempatan yang meminta wang berjumlah RM1.9 juta daripadanya jika mahu dilepaskan.