PM Anwar bantu bebaskan rakyat Thailand yang dijadikan tebusan
KUALA LUMPUR – Seramai 20 rakyat Thailand yang menjadi tebusan Hamas dilaporkan selamat dan sudah dibebaskan susulan campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rundingan pembebasan tersebut.
Perkara tersebut disahkan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam satu perkongsian di akaun X miliknya pada semalam.
“Seramai 20 pekerja asing Thailand yang bekerja di Israel, dijadikan tebusan pejuang Hamas, berjaya dibebaskan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berunding dengan mereka,” katanya.
Memetik laporan Bangkok Post baru-baru ini, Perdana Menteri, Srettha Thavisin mengumumkan bahawa kesemua 20 rakyat Thailand yang menjadi tebusan Hamas dilaporkan selamat dan sudah dipindahkan ke sebuah lokasi sebelum dibebaskan.
Menurut Thavisin, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi satu panggilan telefon.
“Perdana Menteri Malaysia menghubunginya pada Khamis dan memaklumkan bahawa dua kumpulan tebusan rakyat Thailand sudah dipindahkan ke lokasi sama sebelum dibebaskan.
“Namun, keberadaan dua atau tiga lagi tebusan rakyat Thailand masih belum diketahui dan usaha sedang dibuat untuk mengesan mereka,” katanya dalam satu sidang media.
Sebelum ini, Kementerian Luar Thailand mengumumkan bahawa 23 orang rakyat negara itu menjadi tebusan Hamas.
Dalam pada itu, memetik laporan Bangkok Post, kerajaan Thailand turut menyatakan ucapan terima kasih atas jasa baik Anwar dalam usaha menyelamatkan rakyat mereka.