Berita Semasa

RM681.71 juta dana awam hilang, rugi – LKAN 2022

KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendedahkan sebanyak RM681.71 juta dana awam direkodkan hilang serta rugi selepas kegagalan enam program.

Antaranya, ia membabitkan kegagalan pengurusan program padi yang berjumlah RM660.14 juta; pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (RM14.33 juta) dan pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan serta agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (RM6.34 juta).

Selain itu, kegagalan pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin yang berjumlah RM0.49 juta; program galakan pelaburan bagi sektor perkilangan (RM0.29 juta) dan pengurusan program bandar selamat sebanyak RM0.12 juta.

“Perkara ini antaranya berkaitan pemberian pengecualian denda yang dikenakan ke atas kelewatan pembekalan dan penghantaran baja, penyaluran subsidi dan insentif pesawah tidak optimum, kegagalan mengutip hasil pajakan tanah dan perolehan secara penggantian pelupusan senjata api tidak dibekalkan sepenuhnya,” kata laporan itu.

LKAN 2022 juga merekodkan tiga kes pembaziran bernilai RM21.35 juta.

Ia melibatkan pembaziran dalam pengurusan pekerja asing melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) & Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) berjumlah RM19.39 juta.

Seterusnya, pembaziran dalam pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin (RM1.04 juta) dan pengurusan program memperkasakan kapasiti, kebolehan dan daya saing industri pembinaan (RM0.92 juta).

“Kes yang dibangkitkan antaranya berkaitan sistem yang tidak digunakan secara optimum di mana 11 daripada 14 modul sistem ePPAx tidak digunakan dalam proses pengurusan pekerja asing, projek pangkalan hadapan yang siap pada tahun 2020 tidak dapat digunakan dan peralatan kelengkapan latihan (ACMV Industrial) tidak digunakan sejak diterima pada tahun 2018,” kata laporan itu.

Sementara itu, pembayaran tidak teratur bernilai RM1.52 juta dalam pengurusan Program Podium Sukan Elit dan pengurusan program memperkasakan kapasiti, kebolehan dan daya saing industri pembinaan.

Show More

Related Articles

Back to top button