Mr H dirakam keterangan di Putrajaya, Wahab diminta buat laporan polis – KPN
KUALA LUMPUR – Individu dikenali Mr H akan direkod keterangannya di Balai Polis Presint 11, Putrajaya 5.30 petang ini bagi membantu siasatan kes panggilan video lucah tular dikaitkan dengan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam satu kenyataan hari ini.
“Setakat ini seramai tiga saksi sudah dirakam percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dan beberapa orang saksi lain akan dirakam percakapan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.
“Setakat 2 petang ini, tiada laporan polis yang diterima dari pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Menurutnya, sehubungan itu Abdul Wahab diminta segera tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan ini.
Sebelum ini, Pengarah Bahagian Latih dan Pendidikan J-KOM, Muhamad Hakim Ramlee atau dikenali sebagai Ustaz Hakim Ramlee menafikan dirinya Mr H.
Muhamad Hakim menafikan dakwaan penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin, yang mendakwa beliau adalah Mr H, selain menyifatkan tuduhan itu sangat berniat jahat.
Beliau juga mengakui masih menganggotai PKR, namun enggan mendedahkan perincian lanjut berhubung perkara itu.
Kelmarin, Mohammad Agus mendedahkan identiti Mr H dalam keterangan kepada polis, selain membuat satu lagi laporan berhubung penularan laporan dibuatnya sebelum ini, berkaitan video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM.