Skim COSTART: Co-opbank Pertama peruntuk dana RM10 juta
PETALING JAYA – Co-opbank Pertama (CBP) hari ini secara rasmi melancarkan Skim Pembiayaan COSTART kepada koperasi-koperasi kredit dengan dana berjumlah RM10 juta.
Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
Turut hadir ke majlis pelancaran tersebut, Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi dan Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar.
Pelancaran COSTART itu disempurnakan di Majlis Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) yang diadakan di Auditorium Angkasa di sini, hari ini.
Khairil Anuar berkata, inisiatif yang dilakukan oleh CBP ini dilihat dapat membantu gerakan koperasi di negara ini di mana koperasi yang mendapatkan skim pembiayaan COSTART ini mempunyai modal pusingan aktiviti Pembiayaan Peribadi mereka kepada anggotanya.
“CBP telah menyediakan dana sebanyak RM10 juta bagi menjayakan skim ini dan permohonan telah dibuka pada 1 Oktober 2023 yang lalu.
“Menerusi skim ini, koperasi kredit baharu yang ditubuhkan kurang dari tiga tahun yang mempunyai kod Potongan Biro Perkhidmatan ANGKASA (BPA) / Potongan Gaji Majikan (PGM) layak memohon dengan syarat pembiayaan berlandaskan konsep Tawarruq sebagai kontrak pembiayaan.
Selain itu, beliau berkata, CBP amat komited untuk membantu gerakan koperasi di negara ini dan ianya selari dengan misi KUSKOP untuk memasyarakatkan koperasi kepada rakyat di negara ini.