Perak muncul juara pertandingan sepak takraw Piala Tun Ali
MELAKA – Perak muncul juara pertandingan sepak takraw Piala Tun Ali selepas menewaskan Negeri Sembilan di perlawanan akhir hari ini.
Pasukan Perak bermula langkah kiri apabila tewas di set pertama dengan keputusan 24-25.
Bagaimanapun, Perak bangkit semula pada set kedua dengan menang 21-7 untuk mengheret Negeri Sembilan ke set penentuan.
Memasuki set ketiga, Perak yang mempertaruhkan Jakkrit Thinbangon selaku tekong, Aidil (feeder) dan Nuraizat Nordin (killer) berjaya menundukkan Negeri Sembilan 21-14.
Kemenangan ini berjaya melunaskan dendam Perak yang tewas kepada lawan sama dalam perlawanan akhir Piala STL 2023 baru-baru ini.
Pasukan Perak membawa pulang hadiah RM10,000 dan piala iringan manakala Negeri Sembilan mendapat RM5,000 bersama piala iringan.
Kesemua hadiah disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz.