Berita Semasa

Ahmad Zahid dalam keadaan baik, jangan sebar berita tidak betul – anak

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuuk Seri dilapor berada dalam keadaan baik selepas menjalani pembedahan pada Khamis lalu.

Berita itu dikongsikan anak kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, Datuk Nurul Hidayah dalam satu hantaran di Instagramnya hari ini.

“Alhamdulillah Abah saya sihat setelah menjalani satu prosedur pembedahan pada hari Khamis (16/11) yang seharusnya dilakukan lebih awal lagi, kerana kekangan masa dan jadual yg padat,” katanya.

Nurul menyifatkan ayahnya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sebagai seorang pemimpin yang sentiasa mengutamakan kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri.

“Abah punya semangat juang yang terlalu tinggi tetapi selalu lupa yang dia adalah individu yang memerlukan gaya hidup yang sihat – pemakanan seimbang, aktiviti riadah dan rehat yg mencukupi.

“Semoga segala pengorbanan dan perkhidmatan Abah kepada agama, masyarakat dan negara keseluruhannya selama ini, Allah gantikan dengan pahala yang berlipat ganda, ke syurga tanpa hisab dan ditempatkan di syurga yg tertinggi. Aaminn,” katanya.

Sementara itu kata Nurul, tempoh penyembuhan Ahmad Zahid menjadi masa yang bernilai untuk seluruh ahli keluarga menyantuni ayahnya.

“Bagi kami sekeluarga, inilah masa yang sebaiknya kami gunakan untuk bersama menyantuni Abah, menjadi sumber semangat Abah untuk kembali pulih dan sihat agar dapat meneruskan khidmat kepada negara.

Pada masa sama beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi berita atau maklumat yang tidak betul mengenai ayahnya.

“Cuma saya nak pesan kepada semua, jangan main-main dengan berita tentang sakit dan mati. Jangan suka-suka mendoakan yang tidak baik. Berita yang tak pasti dan tak sahih jangan kongsi. Apa sahaja doa yang baik atau tidak baik itu akan kembali kepada kita,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button