Hiburan

Konsert Aina Abdul Imaji Tour bakal temui peminat di tiga lokasi berbeza

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal tanah air, Aina Abdul mengumumkan konsert jelajahnya iaitu Aina Abdul Imaji Tour yang bakal diadakan di tiga lokasi berbeza.

Pada 14 Disember ini, Aina bakal singgah ke Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Sarawak.

Selain itu, Aina bakal menggegarkan Zepp KL pada 27 Disember dan lokasi akhir jelajah ini adalah Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah pada 11 Januari tahun depan.

Konsert jelajah yang diuruskan oleh Altus Prohouse ini diadakan sebagai sebahagian daripada usaha Aina untuk memperkenalkan dan mengukuhkan lagi kedudukan album sulungnya, Imaji yang telah dilancarkan Oktober tahun lalu.

“Saya percaya ini merupakan masa yang tepat untuk membawa lagu-lagu dari album Imail untuk menjelajah Malaysia dan terus mendekati peminat di seluruh negara.

“Siri jelajah ini bukan sahaja sekadar persembahan pentas, tetapi juga usaha saya untuk meneroka dan mendekati peminat dari pelbagai golongan dan lokasi.

“Dengan memilih tiga lokasi istimewa untuk konsert jelajah, saya berharap dapat memperluaskan lagi jangkauan muzik kepada pelbagai lapisan masyarakat dan tidak hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja.

“Ini juga adalah peluang bagi saya untuk berinteraksi lebih dekat dengan peminat dari luar bandar dan pelbagai latar belakang, termasuklah golongan mahasiswa,” katanya.

Aina Abdul dalam satu sidang media selepas mengumumkan konsert jelajahnya di ibu negara hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Tambah Aina, konsert ini diadakan setahun selepas pelancaran album |maji kerana pelantun lagu ‘Sumpah’ itu mahu peminat lebih dekat dengan setiap lagu dalam album tersebut.

“Jangka masa setahun sudah cukup untuk peminat menghayati lagu-lagu dalam Imaji dan kini tiba masanya untuk saya membawa pengalaman album ini ke pentas.

“Saya ingin peminat merasakan jiwa setiap lagu dalam bentuk persembahan langsung yang lebih dekat dengan mereka,” ujarnya lagi.

Selain itu, Aina turut berkongsi bahawa siri konsert jelajah ini adalah satu pencapaian penting dalam kariernya.

“Selepas setahun pelancaran album Imaji, saya teruja untuk kembali ke pentas dengan semangat baru. Setiap lokasi yang dipilih membawa makna tersendiri dan saya tidak sabar untuk berkongsi pengalaman muzik ini dengan peminat saya di seluruh Malaysia,” katanya.

Aina Abdul menyanyikan tiga buah lagu sebelum mengumumkan konsert jelajahnya di ibu negara hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Aina Abdul juga berjanji bahawa konsert ini akan menampilkan persembahan yang penuh emosi dan inovasi, sesuai dengan identiti muzik yang dibawa olehnya.

Lagu-lagu seperti Jangan Mati Rasa Itu, Puas Sudah, Kamu, Bilang dan banyak lagi akan diberi susunan muzik berbeza dalam persembahan langsung yang pasti akan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Tiket untuk Aina Abdul Imaji Tour akan mula dijual bermula 10 September 2024 pada jam 10 pagi di www.ticket2u.com.my.

Show More

Related Articles

Back to top button