Isu Palestin: Dr Mahathir sifatkan pemimpin negara Arab tiada maruah di mata dunia Barat
KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa kecewa terhadap resolusi Sidang Kemuncak Negara-negara Arab-Islam pada 11 November lepas yang dilihat tidak membawa sebarang langkah konkrit bagi mendesak Israel dan sekutunya menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, dunia menyaksikan pemimpin Islam dan Arab yang telah hilang maruah kerana Israel, AS dan sekutu Barat yang terus ‘mengejek’ negara berkenaan.
“Di sebalik kekayaan yang boleh digunakan untuk mendesak negara Barat mengenakan sekatan terhadap Israel ekoran kekejamannya terhadap Palestin, pemimpin Arab dan Muslim hanya sekadar merayu kepada Israel untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai.
“Mereka langsung tidak menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menghantar tentera pengaman.
“Saya sedar sebahagian daripada pemimpin ini sudah berasa mual dan mahu persidangan Arab dan Islam mengambil tindakan yang lebih drastik dan konkrit terhadap Israel.
“Malangnya yang lain lebih cenderung mengambil jalan selamat, supaya tiada konsensus tercapai selain rayuan diplomatik yang tidak bermakna,” tegasnya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap secara dalam talian di sesi Webinar: A Critical Discussion on the International Community’s Approach to Gaza’s Genocide, anjuran Pertubuhan Arab bagi Hak Asasi (AOHR).
Tambah Mahathir, segala kenyataan keras, desakan dan kecaman terhadap Israel dan sekutu Baratnya, terutama sekali Amerika Syarikat, tidak akan diendahkan mereka sama sekali.
Dalam pada itu, Mahathir menegaskan kesombongan dan kebiadaban Israel, serta sikap yang tidak mempedulikan hak nilai kemanusiaan adalah melebihi kejahatan penjajah yang lampau.
“Jika hari ini kita menyedari bahawa untuk pemimpin ini, kehidupan orang Palestin tiada nilainya, ia sama seperti kehidupan rakyat Iraq, Afghanistan, Vietnam, Jepun, Korea, Afrika, Ireland, Melayu, India, Orang Asli, juga tiada nilai kepada mereka.
“Dahulu, sewaktu meluaskan penguasaan imperialistik, mereka melabelkan pejuang kemerdekaan dengan pejoratif yang saya pasti kita semua sudah biasa dengannya, orang gasar, pemberontak, biadab, tidak bertamadun, kafir, degil serta sudah tentu pengganas.
“Seperti pada masa lalu, semua pelabelan ini hanyalah fasad untuk mengalihkan perhatian seluruh dunia daripada apa yang sebenarnya berlaku, pengembangan imperialisme,” ujarnya lagi.