Laungan Palestin bergema di Taiping
TAIPING – Dataran Bandar Warisan di sini menjadi saksi solidariti rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama yang berhimpun bagi menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Perhimpunan aman ‘Solidarity for Palestine’ yang dianjurkan Persatuan Wanita Prihatin Taiping (SEHATI) itu turut disertai pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lebih 3,000 warga Taiping.
Ribuan peserta yang hadir, antaranya memakai mafla dengan motif Palestin, membawa plakad dan mengibarkan bendera negara berkenaan, melaungkan ‘Palestin’ dan ‘Israel Shame of You’ bagi mengecam tindakan kejam rejim Zionis.
Turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu; Faiz Fadzil dan Pengerusi Komuniti Madani Taiping, Ahmad Zahid Khalid.
Acara itu bermula jam 8 malam dengan deklamasi sajak oleh wakil NGO, Dr. Muhaimin Sulam.
Ia diteruskan dengan ucapan daripada Ahmad Zahid yang menyarankan masyarakat agar terus memberi sokongan terhadap Palestin.
Sementara itu seorang pelajar Palestin dari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Mohamed Amra, 22, diberi penghormatan untuk menceritakan penderitaan dan perjuangan di bumi Palestin.
Lebih menyedihkan, dia turut memaklumkan bapa dan adiknya telah terkorban dalam serangan rejim Zionis di bumi Gaza.