Luar Negara

Mahmoud Abbas menentang langkah bahagi Gaza kepada dua bahagian

GAZA – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menentang sebarang langkah oleh tentera Israel untuk membahagikan Gaza kepada dua bahagian.

Memetik laporan agensi berita Anadolu, Mahmoud berkata langkah pembahagian tersebut tidak boleh diterima sama sekali dengan menegaskan wilayah terkepung itu adalah sebahagian dari Palestin.

Ketegasan disuarakan Mahmoud dalam dua panggilan telefon berasingan dengan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.

Dalam perbualan dengan Rutte, beliau berkata, kenyataan tentera israel baru-baru ini bahawa tenteranya telah membahagikan Gaza kepada dua kerana ia mencapai “peringkat penting” dalam peperangannya terhadap kumpulan Palestin Hamas adalah tidak boleh diterima.

Kata beliau, semestinya tiada penyelesaian politik atau keselamatan yang berasingan untuk Gaza.

Sebelum ini, jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata, pada masa ini, terdapat Utara Gaza dan Selatan Gaza.

Tegas Mahmoud, penyelesaian bagi isu di Gaza perlu dilaksanakan dengan sah dari segi politik dan piawaian antarabangsa untuk kebebasan, kemerdekaan dan kedaulatan rakyat Palestin.

Ketika dihubungi Albanese, Mahmoud menekankan keperluan segera menghentikan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.

Beliau menyatakan bahawa mereka adalah wakil rakyat Palestin yang sah dan hak untuk membuat keputusan nasional terletak pada Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Show More

Related Articles

Back to top button