Libatkan NGO, pihak lain dalam merangka Pelan Struktur Pembangunan – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Pandangan Badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli politik, aktivis masyarakat dan pihak berkepentingan lain perlu dilibatkan dalam merangka sebarang bentuk Pelan Struktur Pembangunan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keterlibatan ini bertepatan dengan prinsip tata kelola penyampaian perkhidmatan awam dan kerangka Malaysia Madani.
“Yang kita masukkan beberapa penekanan ini termasuk isu merakyatkan mana-mana pelan struktur dari segi perumahan dan kehijauan,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata demikian dalam ucapannya pada program Peluncuran Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040, di sini hari ini.
Perdana Menteri seterusnya turut menekankan keperluan meningkatkan tahap kecekapan pegawai kerajaan di seluruh negara bagi mempercepatkan kelulusan sebarang pelaksanaan projek atau dasar pada masa akan datang.
Walaupun ketika ini kecekapan pelaksanaan projek di dalam negara dilihat berada pada tahap baik, namun tahap kecepatan kelulusan projek masih belum memuaskan, katanya.
“Antara cabaran kita adalah kepantasan atau kecepatan meluluskan bila sudah ada keputusan. Betul, kita sudah runding dan teliti tetapi ada masalah kita lewat meluluskan (projek) bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi di seluruh negara.
“Ini yang disebut ‘ease of doing business’, maknanya kepantasan atau kecepatan meluluskan setelah mengambil kira semua peraturan diteliti, dicerakin sebelum kelulusan dibuat,” kata Anwar lagi.