Jenayah & Mahkamah

Gaduh dipercayai kerana rebut pelanggan, polis teruskan siasatan

KOTA BHARU – Polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden pergaduhan di kawasan gerai makan laman Pasar Siti Khadijah di sini semalam, walaupun kedua-dua pihak telah menarik balik laporan polis yang dibuat.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner, Mohd Rosdi Daud berkata, tindakan kedua-dua pihak yang cuba menarik balik laporan dengan tujuan menyelesaikan kes bukan penyelesaian kerana kesan yang telah dilakukan mereka itu telah menjejaskan keamanan masyarakat secara amnya.

“Jadi pihak polis akan terus menjalankan siasatan lanjut dan tindakan susulan akan diambil kerana tidak mahu orang ramai akan terbiasa dengan tindakan sendiri dengan membelakangi peruntukan undang-undang semasa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan dengan kesalahan kesemua yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tempoh dua tahun atau dikenakan denda atau dengan kedua-duanya sekali,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini, video kejadian berdurasi 1 minit 22 saat itu menjadi tular di media sosial sejak semalam.

Kata Mohd Rusdi, video tersebut memaparkan kejadian pergaduhan antara beberapa orang lelaki termasuk wanita sambil dileraikan oleh orang ramai.

“Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada isu berebut pelanggan di antara peniaga-peniaga gerai makan di laman Pasar Siti Khadijah,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan saksi kejadian di minta tampil membantu siasatan atau boleh menghubungi talian 012-8772106 atau 09-7752200 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Show More

Related Articles

Back to top button