PM X

PM Anwar sempurnakan perlepasan prapelancaran Rainforest Challenge 2023

PUTRAJAYA – Cuaca hujan tidak menjadi penghalang buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadiri majlis pelepasan 20 kenderaan pacuan empat roda sempena prapelancaran Rainforest Challenge (RFC) Grand Final 2023 di sini, petang tadi.

Bertempat di Dataran Putra, Putrajaya, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah menyempurnakan majlis pelepasan peserta-peserta yang bakal berentap pada 1 hingga 11 Disember ini di Perak.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Dataran Putra pada jam 5.15 petang sebelum disambut oleh Pengasas dan Pengarah Rainforest Challenge & Rainforest Global Series, Luis J A Wee.

Walaupun padat dengan jadual tugasannya hari ini, Anwar tetap bersemangat mengibarkan bendera Jalur Gemilang sambil melepaskan setiap kenderaan yang menyertai pertandingan itu.

RFC yang memasuki penganjuran kali ke-26 bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai hab pelancongan sukan terutama aktiviti permotoran lasak bertaraf antarabangsa.

Menurut Luis, sejak pertandingan RFC yang pertama di Malaysia dianjurkan pada tahun 1997, ia telah berkembang menjadi pentandingan pacuan empat roda terulung di Malaysia yang dinantikan setiap tahun oleh penggemar sukan tersebut sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Katanya, bagi penganjuran tahun ini, RFC Grand Final 2023 yang akan disertai seramai 300 peserta tempatan dan antarabangsa.

“Banyak cabaran yang mereka akan hadapi sebab kita di dunia adalah nombor tiga dalam senarai ‘Top 3 toughest off-road race in the world’ (kedudukan tiga terbaik dalam acara perlumbaan di luar jalan),” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Mengulas lanjut katanya, menerusi pertandingan ini RFC mampu menjadi sukan permotoran paling lasak yang terunggul di dunia serta yang paling mencabar di Malaysia.

Katanya, acara ini juga mampu membantu mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024 dan meletakkan Negeri Perak dalam peta permotoran 4×4 dunia.

Show More

Related Articles

Back to top button