Berita Semasa

Peningkatan prestasi pendidikan bermula sepenuhnya awal tahun depan -PM

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KT) memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan prestasi pendidikan negara bermula tahun depan.

Langkah itu menurut beliau sebagai susulan kepada kejayaan kerajaan menaik taraf kemudahan dan frasarana sekolah pada tahun ini.

“Yang penting bermula Januari tahun depan saya nak tekankan mutu pendidikan. Perbahasan di KPM tidak payah lagi fikir soal lain, tumpu sepenuhnya macamana nak perbaiki prestasi semua mata pelajaran.

“Sekolah sudah elok, tandas sudah siap, kemudahan asas sudah cukup. Tunggu apa lagi? Sebab soal prestasi pelajar yang rendah kita tidak boleh terima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Perdana Menteri pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi di sini, hari ini.

Sehubungan itu beliau telah mengarahkan Kementerian Kewangan supaya menyelesaikan isu kemudahan sekolah daif sebelum masuk tahun depan.

“Ini (pendidikan) satu aspek yang sama penting dalam Kerajaan Madani namun tidak ditekankan seperti mana dasar ekonomi , teknologi dan transformasi digital.

“Semua hal yang dianggap kecil seperti tandas, bumbung bocor dan kemudahan asas yang lain, bangku dan meja anak-anak semua itu harus diselesaikan tahun ini. Kalau tak selesai, guru-guru tak boleh ambil cuti,” selorohnya.

Dalam pada itu Perdana Menteri menyeru supaya pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mencari jalan supaya ibu bapa dapat memberi lebih tumpuan kepada anak-anak di luar waktu sekolah.

“Minta sebolehnya ibu bapa tumpu setengah jam atau satu jam untuk ulang kaji.

“Negara kita tidak boleh terangkat kalau mutu pendidikan kita tidak boleh maju,” katanya.

Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangaan Bandar Baru Bangi siap dibina dalam tempoh tiga bulan merangkumi bangunan empat bilik darjah baharu, dua tandas dan pembaikan pulih bumbung sekolah berkenaan dengan kos keseluruhan RM5.6 juta.

Show More

Related Articles

Back to top button