Berita Semasa

SPM bermula 5 Dis, KPM sedia hadapi banjir

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membuat persiapan yang teliti bagi memastikan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap akan dilaksanakan bulan depan termasuk di kawasan yang dilanda bencana banjir.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, SPM yang dijadualkan pada 5 Dis akan tetap berjalan seperti dijadualkan.

“Kita bersedia. SPM akan bermula 5 Dis ini dan kesiapsediaan (banjir) termasuk menghadapi peperiksaan ini.

“Kita percepatkan SPM sebab kita mahu ‘pergi’ kepada Januari seperti yang diminta oleh banyak pihak.

“Kita tengah susun dan insya-Allah ianya akan teratur dan mengikut garis masa yang kita tetapkan untuk sampai semula kepada Januari,” katanya, hari ini.

Fadhlina berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2023/2024 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Taman Datuk Harun 2, di sini.

Berkenaan persediaan banjir, Fadhlina berkata, sejumlah 5,063 buah sekolah telah diwartakan sebagai pusat pemindahan banjir (PPS) bagi menghadapi bencana tersebut yang diramalkan berlaku ketika ketibaan Monsun Timur Laut.

Beliau menjelaskan, murid-murid di kawasan terjejas banjir akan menjalani sesi persekolahan seperti biasa.

Sementara itu, menurut beliau, sejumlah RM15.5 juta turut diperuntukan bagi melaksanakan penyelengaraan akibat bencana banjir berdasarkan bajet yang diluluskan.

Fadhlina turut berkata, Bilik Gerakan Bencana juga telah diaktifkan untuk melaporkan status institusi pendidikan banjir, PPS institusi pendidikan yang dibuka dan bilangan mangsa warga KPM yang ditempatkan di PPS.

Show More

Related Articles

Back to top button