Berita Semasa

Tiada unsur ancaman keselamatan susulan konflik Palestin-Israel

GEORGE TOWN – Tiada sebarang tanda terdapat unsur ancaman terhadap keselamatan negara ketika ini susulan konflik Palestin-Israel.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, pihak berkuasa tetap mengambil langkah meningkatkan tahap siap siaga di kawasan sempadan dan pada masa sama, menjalin kerjasama rapat dengan negara jiran.

“Saya diberi taklimat oleh ketua polis negara ekoran pergolakan yang berlaku di Timur Tengah dan tiga perkara yang dilakukan oleh pasukan polis iaitu yang pertama, meningkatkan tahap siap siaga di kawalan sempadan negara.

“Kedua, kita bekerjasama rapat dengan semua negara jiran dari segi perkongsian risikan dan ketiga ialah sepanjang konflik berlaku serta sepanjang kita menguatkuasakan kawalan sempadan, laporan awal yang kita peroleh ialah keadaan adalah terkawal.

“Tiada sebarang tanda yang boleh dibuat kesimpulan bahawa wujudnya unsur ancaman terhadap keselamatan, itu penting untuk kita maklumkan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Sementara itu, kata Saifuddin, kerajaan merancang mewujudkan entiti keselamatan siber baharu yang akan diletak di bawah Pejabat Perdana Menteri dan langkah itu diambil sebagai maklum balas kerajaan terhadap potensi ancaman jenayah siber yang semakin meningkat.

“Itu adalah perkembangan yang telah kita bincang di peringkat Jemaah Menteri dan sekarang rang undang-undang tersebut dalam pembikinan… saya tak fikir ia dapat masuk dalam jadual terdekat (persidangan Dewan Rakyat), mungkin tahun depan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button