Berita SemasaPM X

Boikot sidang APEC, keputusan Malaysia seiring negara Asia lain

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada memboikot kehadiran pada sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) atau tidak akan dibuat seiring dengan keputusan negara Asia lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini kerajaan sedang berhubung dengan negara Asia lain termasuk China bagi mengetahui pendirian mereka sama ada mahu memboikot atau tidak.

“Kita sedang teliti (kehadiran di APEC). APEC ini adalah Badan Ekonomi Asia Pasifik.

“Jadi sekarang kita hubungi negara ASEAN dan China tentang kedudukan mereka dan kita akan ambil keputusan selaras dengan pendirian rakan-rakan dan juga Asia,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (PN – Machang) sama ada Malaysia bercadang untuk memboikot sidang APEC di Amerika Syarikat (AS) pada November depan.

Pada 24 September lalu, media melaporkan bahawa PM Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia ke APEC di San Francisco, California pada November ini.

Selain mesyuarat pemimpin APEC, kalangan pemimpin ASEAN kecuali Myanmar, turut dipelawa bagi mesyuarat berasingan oleh Presiden AS, Joe Biden.

Show More

Related Articles

Back to top button