PM X

Ahli akademik perlu main peranan jadi peneraju akal dan pemikir bangsa – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap ahli-ahli akademik tempatan akan memainkan peranan menjadi peneraju akal dan pemikir bangsa di negara ini khususnya dalam menggerakkan Gagasan Malaysia Madani yang menyeru kepada kebaikan.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, beliau mengakui dan berbangga dengan sumbangan ilmu oleh ahli-ahli akademik negara yang tidak terhad kepada sumbangan dalam ruang lingkup tempatan sahaja.

“Ada pensyarah kita yang sudah biasa menjadi sarjana awam yang berkongsi ilmu, pengetahuan dan kepakaran mereka di pentas antarabangsa dan dengan negara-negara luar.

“Atas dasar itu, memandangkan kita sedang berhadapan dengan arus zaman yang mencabar ini, harus wujud kesedaran bahawa kebanyakan masalah yang kita hadapi hari ini sebenarnya saling berkait

“Ia menuntut langkah yang serentak di pelbagai bidang dan sektor. Dan, langkah ini perlu diawali dengan ilmu dan pengetahuan yang sentiasa ditambah baik dalam kalangan ahli akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sempena Majlis Anugerah Akademik Negara di ibu negara, malam ini.

Dalam majlis tersebut, pakar penyakit berjangkit negara, Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman telah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara bagi edisi kali ini.

Selain itu, lima orang ahli akademik lain juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Akademik Negara (AAN) mengikut enam kategori yang telah ditetapkan 

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Majlis Anugerah Akademik Negara perlu dilihat sebagai perkara yang besar dalam meneruskan tradisi yang dimulakan oleh kerajaan Malaysia untuk meraikan kesarjanaan ahli akademik tempatan.

“Masyarakat sentiasa memerlukan ikon kesarjanaan dan juga suri teladan yang berketerampilan, berintegriti lagi berwibawa. Biar apapun lapangan yang kita ceburi, kehadiran ikon dan tokoh yang dihormati akan memangkin semangat dan kesungguhan dalam kalangan banyak pihak.

Tambah Anwar, ahli-ahli akademik harus menjadi inspirasi kepada mahasiswa untuk melonjak potensi diri yang terbaik.

“Ahli-ahli akademik harus menjadi rujukan kepada anak bangsa kita untuk memberi yang terbaik kepada negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan beliau akan terus memberi dorongan dan dukungan kepada semua IPT.

Katanya, dukungan tersebut termasuk usaha meneroka dan mewujudkan bidang-bidang pengajian baharu, termasuk bidang ekonomi, kesejahteraan dan kelestarian.

Tambah Anwar, pengembangan dan pelebaran ufuk ilmu mesti menjadi agenda nasional yang kalis politik dan kepentingan diri.

Malah, jelas beliau, membangunkan suatu ekosistem pendidikan tinggi yang bertaraf global harus menjadi usaha berterusan dalam meletakkan Malaysia sebagai negara yang mengangkat dan menghormati ilmu.

Show More

Related Articles

Back to top button