UPSR tidak akan dikembalikan walau terdapat permintaan
KPM fokus rangka kurikulum baharu yang akan diperkenalkan pada 2027
NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan memberi jaminan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan dikembalikan walaupun terdapat permintaan daripada ibu bapa yang mahu ia dilaksanakan semula.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika mengulangi jaminan itu berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) pada masa ini memberi tumpuan kepada kurikulum 2027 menerusi jelajah atau jerayawara untuk mendapatkan pandangan umum mengenai kurikulum persekolahan yang baharu.
“Kita minta ibu bapa beri tumpuan kepada jelajah dah jerayawara ini kerana kita mahu libat urus yang meluas untuk input-input memperkukuhkan sistem pendidikan negara.
“Sekarang ini kita nak beri tumpuan kepada pentaksiran holistik kepada anak-anak kita khususnya pembangunan mereka secara keseluruhan bagi memastikan mereka (karakter) boleh diperkukuh,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menghadiri Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Taman Pekaka Seberang Perai Selatan di Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Indah di sini.
Hadir sama, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin.
Pada 28 April tahun lalu, Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan UPSR dimansuhkan sepenuhnya manakala pada tahun yang sama Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) turut dibatalkan.
Selaras dengan pemansuhan berkenaan, Mohd Radzi berkata, pihaknya akan melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) untuk mengukur pencapaian murid dan pelajar terbabit.
UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul manakala PT3 dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).